bloguez.com

Sabtu, 14 Mei 2011

Cinta bukan untuk ku

Kita bercinta sejak lahir.Sudah terlalu banyak definisi tentang cinta. Terutama filem-filem hindustan. Cinta telah diberikan mekap yang cukup mengasyikkan.Cinta suatu perasaan yang sukar digambarkan melalui kata-kata. Ia hanya dapat dinikmati secara mengalaminya sendiri. Cinta tidak dapat dipelajari tetapi dialami. Uniknya cinta kerana ia jelmaan kasih sayang yang teragung. Manusia membina sahsiah di muka bumi bermodalkan kasih sayang dan cinta.

Cintalah segalanya bagi orang yang sedang bercinta. Cinta menjadi jambatan penghubung kepada dua hati yang asalnya terpisah dan saling tidak mengerti.

Cinta adalah motivasi terbaik manusia. Manusia telah ditebarkan di muka bumi dengan dibekalkan rasa cinta. Cinta telah menemukan kembali adam dan hawa. Melalui cintalah manusia membina sahsiah dan menjadikan alam ini tempat yang terbaik untuk didiami.

Jika cinta sudah tiada di hati anda, tandanya salah satu dari nikmat Allah telah tercabut daripada anda. sedang cinta salah satu nikmat teragung Allah terhadap hambanya. Jika anda sudah tidak dapat menghargai cinta tandanya nilai kemanusiaan anda sudah nula terhakis. Ketiadaan cinta di hati anda bakal merubah seluruh kehidupan anda.

Orang yang tiada perasaan cinta adalah orang yang telah kehilangan motivasi dalamannya. cinta seharusnya melahirkan tindakan yang melambangkan kelembutan, kasih sayang dan kebijaksanaan terutama dalam membuat keputusan berhubung dengan insan-insan berlawanan. Cinta adalah kenderaan menuju kebahagiaan.

Suburkanlah rasa cinta sebagaimana ia bermula dan sentiasa. saat bermulanya cinta adalah rasa teragung yang dirasai oleh setiap manusia. Inilah rasa yang tiada perkataan dapat menceritakannya. Tatkala itu cinta benar-benar menjadi motivasi yang terhebat. andainya lautan api direntangkan di tengah-tengah, masih sanggup direnangi untuk menggambarkan betapa cinta begitu memotivasi dan perlu bukti. Tiada lagi rasa teragung kecuali cinta.

Cinta melambangkan kegembiraan, keseronokan, kepuasan, kenikmatan dan semua rasa yang muluk-muluk dan sukar digambarkan dengan perkataan. Manusia yang beruntung adalah manusia yang meniti di atas cinta, memperolehi cinta untuk menyedari kedudukannya sebagai insan kerdil di bawah kebesaran Allah.

Biar tinggi martabat cinta, ada cinta yang seolah-olah telah hilang keramatnya. Adakalanya cinta yang suci dan penuh makna itu menjadi barang terbuang, berciciran di mana-mana, dilorong-lorong, di bawah rimbunan pepohon dan apatah lagi apabila malam telah melabuhkan tirainya. Manusia-manusia durjana berebut-rebut mengutip bunga cinta yang berkeliaran dan bersimpang siur itu. Harga diri dipertaruhkan dan dicagarkan hingga akhirnya menjadi habuan nafsu yang tidak mengenal iman dan kehormatan.

Entah di mana silapnya cinta yang sepatutnya menjadi lambang kebahagiaan, kedamaian dan keamanan manusia sejagat adakalanya menjadi pemusnah. Cinta hadir daripada ketrampilan pemilik cinta itu sendiri. Seorang lelaki yang benar-benar jatuh cinta dan mencintai seorang waanita akan menunjukkan sikap, penampilan serta gerak laku yang sentiasa menyakinkan insan yang dicintainya itu.

Cinta yang murni adalah pemangkin kepada kehidupan yang penuh bahagia. Sebgaimana ia bermula, cinta seharusnya berkekalan sedemikian rupa sehinggalah ke penghujungnya. Cinta tidak harus dinodai oleh perlakuan-perlakuan kejam, tidak bermoral dan juga yang mencarik kesucian cinta itu sendiri. Andainya cinta boleh dikekalkan sebagaimana ia bermula, bahagia adalah jawapan untuknya.

Kejayaan sesebuah perhubungan memang banyak bergantung kepada suci dan murninya cinta yang dipermodalkan. selama mana cinta dapat dipertahankan pada kedudukannya selama itulah bahagia akan menjadi penghias yang terindah. Apabila cinta sudah tidak dihargai, kehidupan akan berpaling ke tahap terendah. Jawapannya derita tanpa penyudah.

Tanpa perlu mengeluarkan sebarang bayaran, cinta sudah ada dalam setiap insan. Cinta sudah dibekalkan sebagai modal termahal untuk dirasai dan diberikan kepada individu yang berhak. Meniti di atasnya bererti meniti di atas bahagia.

Tiada lagi suatu rasa pun yang boleh memotivasikan manusia kecuali rasa cinta dan bahagia. Dengan cinta gunung kelihatan rendah untuk didaki. Dengan bahagialah lembah kelihatan cetek untuk dituruni. Dengan cinta dan bahagialah matlamat kehidupan insan menjadi sempurna. Tanpa kedua-duanya, semua kelihatan tercabut dari hasrat, kehendak, sasaran, target dan cita-cita yang murni.

Cinta ibarat cahaya, bukan pencetus masalah dan pembawa derita. Tidak perlu berkorban kehormatan untuk cinta kerana cinta yang benar-benar suci dan semulajadi menjadikan pemiliknya bertambah matang, dewasa, beriman malah berperibadi mulia.

Cinta murni sentiasa mampu memandu manusia melepasi semua halangan demi kecemerlangan. Cinta telah membuatakan manusia bangkit membina kehidupan yang terbaik. Alangkah bodohnya orang yang menjadikan cinta jambatan untuk membina kesusahan.

Jika cinta dijelmakan dalam diri ia begitu memotivasi. Jika diberikan kepada seseorang ia ibarat menghadiahkan sebukit emas untuknya. Jika dijelmakan dalam rumah tangga, jawapannya adalah kerukunan dan persefahaman yang berpanjangan.

Begitulah seharusnya cinta………..

Petikan Artikel motivasi oleh dari. HM Tuah Iskandar Al-Haj

Jumaat, 13 Mei 2011

Nota 5 P - untuk bacaan dan folio BMM 3117

Modul – zaman rasa / zamankasih@gmail.com

KONSEP 5P

Apakah yang dimaksudkan dengan konsep 5P? 5P ialah strategi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah. 5P juga satu saranan supaya bidang kemahiran atau bahan pengajaran dan pembelajaran disampaikan secara bersepadu dan tidak secara berasingan. 5P menekankan penggabungjalinan , penyerapan, penilaian, pengayaan, dan pemulihan.


5.1 Penggabungjalinan

Apakah yang anda faham tentang penggabungjalinan?

Penggabungjalinan ialah satu sesi pengajaran dan pembelajaran yang menyarankan supaya bidang kemahiran yang berkait rapat atau bahan pengajaran yang mempunyai urutan yang baik tidak disampaikan secara berasingan. Strategi ini berhasrat untuk menjadikan aspek kemahiran saling memperkukuh dan bahan pengajaran saling melengkapi. Dalam hal ini, sesi pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih bererti.

Tujuan strategi penggabungjalinan seperti yang berikut:

a. Kemahiran dapat dikuasai secara serentak.
b. Bentuk pengajaran lebih menarik dan berkesan.
c. Berpeluang untuk menggunakan kemahiran secara semula jadi.
d. Aktiviti melibatkan pelbagai kemahiran dan ramai pelajar.

Prinsip-prinsip penggabungjalinan

• Mudah ubah, bergantung kepada matlamat dan objektif yang hendak dicapai.
• Guru mesti tahu apa dan berapa kemahiran yang ingin digabung-jalinkan.
• Kemahiran fokus dan sampingan hendaklah dirancang dengan baik.
• Berdasarkan kebolehan dan pencapaian pelajar.

Bentuk-bentuk penggabungjalinan

Ada 3 bentuk penggabungjalinan :

• Penggabungjalinan kemahiran
• Penggabungjalinan bahan
• Penggabungjalinan aktiviti

1. Penggabungjalinan Kemahiran

2. Penggabungjalinan Aktiviti

Anda boleh mengabungjalinkan sekurang-kurangnya dua aktiviti atau lebih mengikut keperluan dan kesesuaian. Aktiviti-aktiviti itu merangkumi aspek lisan, bacaan dan kefahaman, dan tulisan.


Aktiviti


Lisan
Bacaan dan Kefahaman Tulisan

Berbual
Berbincang
Bertemu ramah
Berbahas
Berceramah
Bercerita
Berlakon

Memaham
Mengesan isi penting
Meringkas
Membuat ayat
Memberi makna
Menghurai ungkapan
Esei
Laporan
Ulasan
Ucapan
Arahan
Iklan
Mencatat isi


Untuk melaksanakan penggabungjalinan,anda perlu merancangkannya dengan aktiviti-aktiviti yang mempunyai urutan yang baik.
Contoh:

a. Berceramah → mencatat isi
b. Bercerita → berbincang → menulis karangan
c. Membaca → mengesan isi → mengulas → menulis ulasan

3. Penggabungjalinan Bahan

Penggabungjalinan ini memberikan tumpuan kepada bahan atau tema pengajaran dan pembelajaran. Bahan itu boleh terdiri daripada bahan utama atau bahan sokongan. Perancangan harus dibuat bagi menentukan bahan yang dipilih sesuai dengan keperluan, pengalaman, dan tahap pencapaian murid. Antara bahan yang boleh digabungjalinkan itu adalah seperti yang berikut:

Bahan

Bahan utama
(Petikan) Bahan sokongan
(Bahan rangsangan) Bahan lisan
(Rakaman)

Rencana
Laporan
Berita
Ucapan
Komentar
Pengumuman
Ulasan
Iklan

Gambar
Data
Rajah
Graf
Carta

Ucapan
Ulasan
Komentar
Laporan
Temu bual
Pengumuman
Wawancara


Anda boleh menggabungjalinkan bahan-bahan ini mengikut keperluan masa yang diperuntukkan di samping mempunyai pertalian dan urutan yang baik.

Lihat contoh yang berikut:

1. Berita → ulasan
2. Iklan → surat permohonan → temu duga → surat jawapan.

Penyerapan

Penyerapan merupakan proses penyebatian dan menyatupadukan pengetahuan atau unsur pengetahuan daripada satu mata pelajaran lain sebagai isi pelajaran bagi sesuatu mata pelajaran yang diajar. Dalam pengajaran Bahasa Melayu unsur ilmu, nilai, dan kemahiran bernilai tambah seperti kemahiran berfikir, kemahiran belajar, dan kajian masa depan boleh diserapkan.

Dalam program KBSR, penyerapan boleh dilihat dalam dua aspek utama iaitu aspek pembelajaran dan aspek komunikasi.

(i) Aspek Pembelajaran

Aspek ini boleh membantu murid untuk :

a. Menambahkan kefahaman dan kemahiran untuk mematuhi arahan dan peraturan melalui aktiviti yang dijalankan;
b. Membentuk sikap ingin menambahkan ilmu pengetahuan;
c. Meluaskan ruang untuk meneroka bidang ilmu yang mereka minati;
d. Memupuk corak pemikiran yang terbuka dan sentiasa ingin tahu;
e. Membentuk pemikiran yang rasional, logik, objektif, dan positif; dan
f. Meluaskan ruang untuk meneroka bidang ilmu yang diminati.

(ii) Aspek komunikasi

Penyerapan yang dilakukan dapat :

a. Membantu murid menguasai pengetahuan tentang penggunaan perbendaharaan kata, pemilihan laras bahasa, tatabahasa, kegunaan intonasi, dan perlakuan bukan bahasa yang lain mengikut konteks;
b. Memahami dan menerima serta mengamalkan aspek nilai yang sesuai untuk perkembangan diri; dan
c. Menguasai dan mengamalkan tingkah laku yang bersesuaian dan diterima oleh rakan sebaya dan masyarakat.

Penyerapan dalam KBSR merangkumi dua perkara, iaitu :

(a) Pengetahuan atau isi pelajaran.
(b) Nilai murni.

(a) Pengetahuan atau isi pelajaran
• Bahan atau kandungan isi pelajaran daripada mata pelajaran lain seperti Agama Islam, Pendidikan Moral, Pendidikan Seni, Matematik, Kajian Tempatan, Muzik, Sains, dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan yang digunakan sebagai isi kandungan dalam satu mata pelajaran untuk mata pelajaran lain.
• Pelbagai karya sastera seperti pantun, syair, dan sajak.
• Pengetahuan am seperti hal ehwal semasa dan hal ehwal dalam negeri.
• Hal ehwal budaya, warisan, dan kemasyarakatan.

(b) Nilai Murni

Nilai murni boleh diterapkan dengan berbagai-bagai cara sepanjang pengajaran dan secara terancang dalam aktiviti pembelajaran. Strategi utama untuk pembinaan nilai murni ialah melalui aktiviti secara individu, berkumpulan, atau kelas.

Kadangkala nilai murni tidak dinyatakan secara terus, tetapi boleh disampaikan secara terancang dalam satu waktu pengajaran dan pembelajaran. Pemupukan nilai murni ini boleh dilakukan melalui aktiviti yang melibatkan murid secara aktif seperti gerak kerja kumpulan dan kerja projek.



Setelah selesai membaca konsep penyerapan, hasilkan peta konsep untuk memudahkan anda memahaminya.



1.5.3 Penilaian

Penilaian merupakan satu proses atau aktiviti yang bersistematik bagi memperoleh maklumat yang berguna dalam menentukan sesuatu prestasi. Dalam KBSR penilaian merupakan satu proses untuk menguji, mengukur, dan membuat pertimbangan mengenai kebolehan atau kemahiran dan kefahaman murid berdasarkan objektif pengajaran dan pembelajaran.
Dalam program KBSR, terdapat tiga jenis aktiviti penilaian iaitu :

1. Penilaian mengesan penguasaan
2. Penilaian mengesan kemajuan
3. Penilaian mengesan pencapaian


Penilaian Mengesan
Penguasaan
Penilaian ini dijalankan ketika guru berada dalam bilik darjah. Tujuannya untuk mengesan kelemahan penguasaan murid dalam sesuatu kemahiran bahasa yang sedang diajarkan, supaya kelemahan itu dapat dibetulkan dengan serta merta.

Penilaian Mengesan Kemajuan
Biasanya penilaian ini dilakukan selepas beberapa kemahiran dalam sesuatu topik selesai diajarkan. Penilaian ini bertujuan mengesan kemajuan murid tentang kemahiran yang telah dipelajari supaya dapat menentukan siapa yang memerlukan aktiviti pengayaan atau pemulihan.

Penilaian Mengesan Pencapaian
Penilaian ini dijalankan selepas guru mengajarkan beberapa topik pelajaran, biasanya dalam tempoh satu penggal. Tujuan penilaian ini diadakan ialah untuk mengesan pencapaian murid dalam beberapa topik pelajaran untuk menentukan kedudukan murid dalam kumpulan masing-masing.


Aktiviti Penilaian

Pada amnya ketiga-tiga aktiviti penilaian di atas boleh digolongkan kepada dua jenis iaitu :

1. Penilaian formatif
2. Penilaian sumatif

Penilaian Formatif

Penilaian ini melibatkan penaksiran yang sistematik yang dilakukan sepanjang masa pengajaran dan pembelajaran sebaik sahaja guru dapat mengesan tahap penguasaan sesuatu unit kemahiran pelajaran muridnya. Maklumat yang dikumpulkan boleh digunakan dengan segera dan berterusan untuk membimbing murid dan membantu guru dalam mencapai matlamat sesuatu pengajaran dan pembelajaran.

Penilaian formatif ini menggunakan pemerhatian, latihan, dan senarai semak untuk mengesan dengan segera sama ada murid itu sudah menguasai sesuatu kemahiran yang sedang diajar. Guru boleh menggunakan maklumat ini untuk membimbing murid memperbaiki kelemahan mereka ketika pembelajaran berlangsung atau semasa membuat latihan.

Penilaian ini bukan bermaksud untuk mengukur atau menggredkan pencapaian dan kebolehan murid, sebaliknya boleh menjadi alat dorongan untuk pembelajaran seterusnya. Murid yang lemah sepatutnya mendapat bimbingan sementara murid yang pintar seharusnya disajikan dengan aktiviti pengayaan yang mencabar.

Semasa melakukan penilaian formatif secara tak formal, guru perlu melaksanakan langkah-langkah yang berikut :

a. Menentukan unit atau tajuk pembelajaran;
b. Menentukan tahap atau peringkat pencapaian yang dikehendaki;
c. Menyusun perkara yang akan diuji dalam unit;
d. Membina item ujian;
e. Mengesyorkan langkah pemulihan, pengukuhan, dan pengayaan bagi kemahiran yang berkaitan.

Penilaian Sumatif

Penilaian ini mengukur pencapaian terhadap objektif yang luas merangkumi kesemua tajuk dan bidang yang diajar dalam satu jangka masa tertentu. Dengan cara ini, guru dapat menentukan setakat mana objektif pengajaran sudah dicapai di samping dapat membandingkan pencapaian seseorang murid dengan murid lain.

Penilaian sumatif dilakukan secara formal dengan menggunakan ujian kertas-pensel, kemahiran amali atau soal jawab secara lisan. Sebaik sahaja selesai memeriksa jawapan murid, markah dan gred akan diberi untuk direkodkan dalam senarai semak dan rekod profil murid.

Maklumat daripada penilaian sumatif boleh digunakan oleh guru untuk menentukan siapa yang memerlukan pemulihan atau pengayaan, atau menempatkan semula murid dalam kumpulan yang lebih sesuai. Di samping itu, maklumat yang diperoleh dapat membantu guru untuk menaksir keberkesanan pengajarannya dan pembelajaran muridnya.

1.5.4 Pemulihan

Dalam konteks ini pemulihan dihubungkan dengan kanak-kanak yang menghadapi kesulitan pembelajaran. Pengajaran pemulihan merupakan langkah khas yang guru lakukan untuk membantu murid yang menghadapi masalah pembelajaran tertentu dalam menguasai kemahiran asas membaca, menulis, dan mengira. (3M) Sebaik sahaja masalah pembelajaran dikesan dan dikenal pasti, program ini dilaksanakan. Murid pemulihan perlu diberikan pengajaran pemulihan mengikut kadar kemampuan murid menguasai sesuatu kemahiran supaya jurang perbezaan antara mereka dengan murid lain dapat dikurangkan atau dihapuskan sama sekali.

Objektif program pemulihan

Antara objektif strategi pemulihan ini adalah untuk membolehkan murid:

a) menguasai kemahiran tertentu dengan mengikuti aktiviti yang sesuai dengan mereka;
b) Mendapat layanan dan kemudahan belajar yang sesuai dengan kemampuan dan perkembangan mental individu;
c) Mengurangkan masalah yang dihadapi melalui bantuan guru;
d) Mengembangkan potensi dan minat mereka dalam pelajaran ke taraf yang lebih maju;
e) Mendapat peluang yang sama dengan melibatkan diri dalam aktiviti sosial sama ada di dalam atau di luar bilik darjah;
f) Membina, memperoleh, dan mengembangkan sikap percayakan diri sendiri dan berdikari; dan
g) Dapat meneruskan pelajaran mereka dalam sistem persekolahan biasa yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing.

1.5.5 Pengayaan

Pengayaan adalah sejenis aktiviti pembelajaran yang menarik dan mencabar untuk memberi peluang kepada murid mengembangkan sifat ingin tahu, semangat berdikari, daya kreativiti, dan semangat kepemimpinan. Pengayaan disediakan untuk semua murid sama ada kumpulan cerdas, sederhana, atau lemah. Aktiviti pengayaan berlainan daripada aktiviti pembelajaran kemahiran asas. Aktiviti ini diberikan kepada murid selepas mereka berjaya menguasai kemahiran asas tertentu. Murid menggunakan kemahiran yang telah dikuasai untuk menjalankan aktiviti pengayaan. Aktiviti pengayaan akan meluaskan pengalaman dan pengetahuan murid sejajar dengan kebolehan dan minat mereka dalam bidang tertentu.


Objektif Pengayaan

Di bawah dicatatkan beberapa objektif pengayaan. Selepas membacanya, cuba bincangkan dengan rakan anda:

a. menggunakan kemahiran yang telah dikuasai dalam pelajaran biasa untuk memperluaskan pengalaman dan pengetahuan mereka dalam pelajaran tertentu;
b. Melakukan kegiatan pembelajaran yang menarik dan mencabar kebolehan mereka;
c. Melahirkan daya cipta melalui pemikiran dan kegiatan serta kebolehan untuk menilai sesuatu hasil kerja sendiri;
d. Meminati dan menguasai bacaan luas dengan membuat rujukan terhadap pelbagai bahan dan sumber pengetahuan;
e. Berminat untuk belajar sendiri dan berdikari untuk membolehkan mereka meneruskan pembelajaran seumur hidup.

Sebagai guru, anda perlu mengambil kira beberapa perkara semasa merancang aktiviti pengayaan. Antaranya adalah seperti yang berikut:

a. Menggunakan daya usaha sendiri;
b. Membuat kerja sendiri dan hasilan kendiri;
c. Memberikan penekanan kepada aktiviti yang bersifat kreatif dan eksperimental;
d. Menggunakan kaedah dan organisasi yang mudah ubah
e. Melibatkan pembacaan luas; dan
f. Memberikan peluang bagi mengembangkan sifat kepimpinan sosial.

Program pengayaan boleh dilaksanakan melalui pelbagai aktiviti, termasuklah:
• Pembelajaran akses kendiri;
• Kerja projek;
• Bacaan tambahan;
• Permainan dan rekreasi; dan
• Pembelajaran berbantukan komputer.