bloguez.com

Sabtu, 26 September 2009

Nota Penting (4) Konsep Kaedah Pandang Sebut: UAK (PISMP dan PGSR)

KAEDAH PANDANG DAN SEBUT

Untuk memahaminya, sila teliti nota berikut iaitu tentang kaedah pandang dan sebut.

Kaedah ini dinamakan kaedah seluruh perkataan kerana pelajaran dimulakan dengan memperkenalkan perkataan dan bukannya huruf atau suku kata. Kaedah ini dinamakan juga kaedah pandang dan sebut kerana aktiviti utamanya ialah memandang dan menyebut. Menurut Juriah Long et.al. (1994) perkataan diperkenalkan kepada murid-murid dengan menggunakan kad-kad perkataan. Semasa kad diimbaskan, murid-murid menyebut perkataan-perkataan itu beberapa kali. Perkara yang dipandang ialah gambar objek yang terdapat pada bahan bantu belajar, dan yang disebut ialah perkataan pada bahan yang ditunjukkan.
Untuk memahami kaedah ini kita perlu melaksanakan aktiviti berikut:

4.1.1 Menyebut Perkataan

Dengan menggunakan bahan bantu belajar anda dikehendaki melaksanakan
langkah-langkah berikut:

 menyebut perkataan

4.1.2 Mencerakinkan perkataan

Dengan menggunakan bahan bantu belajar yang sesuai, anda dikehendaki:

 mencerakinkan perkataan menjadi suku kata

4.1.3 . Membina dan membaca ayat

Dengan menggunakan bahan bantu belajar anda dikehendaki:

 membina ayat

Teruskan aktiviti membaca dengan

 membaca ayat yang lengkap.

4.1.4. Menggunakan bahan bantu belajar untuk melaksanakan kaedah
pandang dan sebut

Pastinya kini anda telah mahir melaksanakan langkah demi langkah dalam kaedah pandang dan sebut.

Kini anda dikehendaki menggunakan kreativiti anda untuk :

 Membina bahan bantu belajar bagi melaksanakan langkah-langkah tersebut.
 Anda kini boleh menggunakan bahan bantu tersebut untuk melaksanakan kaedah pandang dan sebut seperti yang telah anda pelajari.

Latihan


Dengan menggunakan bahan bantu belajar bukan elektronik yang anda bina sendiri, anda dikehendaki melaksanakan kaedah pandang dan sebut secara simulasi. Setelah itu, anda dikehendaki menilai strategi pengajaran yang digunakan.

Nota Penting (3) Konsep Kaedah ABJAD: UAK (PISMP dan PGSR)

KAEDAH ABJAD

Untuk memahaminya, sila teliti nota berikut iaitu tentang kaedah abjad.


Kaedah abjad ialah kaedah yang berfokus pada penghafalan abjad, pembentukan suku kata dan aktiviti mengeja. Usaha menghafal abjad dan membentuk suku kata itu bertujuan untuk membolehkan murid mengeja perkataan, maka kaedah ini dinamakan juga kaedah mengeja. Dalam kaedah ini, nama-nama huruf perlu dikenal pasti dahulu melalui latihan menyebut dan menghafal dari huruf ‘a’ hingga ‘z’ mengikut susunan. Seterusnya diikuti dengan mengeja suku kata dan perkataan, huruf-huruf yang terkandung dalam suku kata dan perkataan (Juriah Long et.al, 1994). Menurut Abdul Aziz Abdul Talib (2000), biasanya, huruf besar diperkenalkan terlebih dahulu sebelum huruf kecil diajarkan. Manakala menurut Raminah Haji Sabran dan Rahim Syam (1985) pula, kedua-dua bentuk huruf kecil dan huruf besar didedahkan serentak.

Setelah murid menghafal semua nama huruf, pengajaran difokuskan pula pada nama dan bunyi huruf vokal a, e, i, o, dan u dengan nama semua huruf yang terdapat dalam sistem ejaan semasa. Mereka perlu menghafal nama semua huruf yang diperkenalkan itu. Setelah murid menghafal nama semua huruf dan mengenal huruf vokal serta bunyinya, pelajaran diteruskan dengan pembentukan suku kata secara berturutan Daripada suku kata itu dibentuk perkataan. Latih tubi mengeja perkataan diadakan. Lazimnya pengejaan dilakukan dengan menyebut nama huruf pada sesuatu suku kata diikuti dengan penyebutan suku kata itu.

Kita perlu melaksanakan aktiviti berikut untuk memahami kaedah ini:


3.1.1 Menyebut nama huruf abjad A-Z; huruf besar dan kecil

Dengan menggunakan bahan bantu belajar anda dikehendaki melaksanakan
langkah-langkah berikut:

 menyebut huruf a-z ; huruf kecil

Setelah anda selesai menyebut kesemua huruf, anda dikehendaki pula

 menyebut huruf A-Z; huruf besar

3.1.2 Menyebut suku kata V dan KV

Dengan menggunakan bahan bantu belajar yang sesuai, anda dikehendaki:

 menyebut suku kata V

Seterusnya, anda perlu

 menyebut suku kata KV

3.1.3 . Mengeja suku kata, perkataan dan frasa

Dengan menggunakan bahan bantu belajar anda dikehendaki:

 mengeja suku kata

Teruskan latihan anda untuk

 mengeja perkataan

Anda sekarang perlu meneruskan latihan untuk

 mengeja frasa

3.1.4 Latihan membaca ayat

Dengan menggunakan bahan bantu belajar anda dikehendaki:

 membaca ayat dengan lengkap


3.1.5. Menggunakan bahan bantu belajar yang sesuai untuk melaksanakan
kaedah abjad

Anda telah pun melaksanakan langkah demi langkah kaedah abjad bermula daripada menyebut nama huruf dansuku kata, mengeja suku kata, perkataan dan frasa serta laihan membaca ayat.

Kini anda dikehendaki menggunakan kreativiti anda untuk :

 Membina bahan bantu belajar bagi melaksanakan langkah-langkah tersebut.
 Anda kini boleh menggunakan bahan bantu tersebut untuk melaksanakan kaedah abjad seperti yang telah anda pelajari.


Latihan


Dengan menggunakan bahan bantu belajar bukan elektronik yang anda bina sendiri, anda dikehendaki melaksanakan kaedah abjad secara simulasi. Setelah itu, anda dikehendaki menilai strategi pengajaran yang digunakan.

Selasa, 22 September 2009

Nota Penting (2) Konsep Kaedah Fonetik: UAK (PISMP dan PGSR)

Konsep kaedah Fonetik


Untuk memahaminya, sila teliti nota berikut :

Kaedah fonetik ialah kaedah yang menekankan penguasaan murid terhadap hubungan antara huruf dengan bunyinya. Kaedah fonetik hanya mensyaratkan murid mengingat bentuk huruf dan bunyinya tanpa mengingat nama huruf. Kaedah ini bermula dengan memperkenalkan huruf vokal kepada murid, diikuti dengan pengenalan huruf konsonan, pembentukan suku kata, dan pembentukan perkataan yang bermakna dalam satu atau dua pelajaran sahaja. Murid akan dapat membaca beberapa perkataan dengan cepat serta faham apa-apa yang dibaca.


2.4 Aktiviti/Bengkel Kaedah Fonetik

Untuk memahami kaedah ini kita perlu melaksanakan aktiviti berikut:

2.4.1 Membunyikan huruf dan asosiasi dengan benda

Dengan menggunakan bahan bantu belajar anda dikehendaki melaksanakan
langkah-langkah berikut:

 membunyikan huruf A – Z

Setelah anda selesai membunyikan kesemua huruf anda dikehendaki

 mengasosiasikan benda dengan bunyi huruf tersebut.


2.4.2 Membatangkan suku kata dan perkataan

Dengan menggunakan bahan bantu belajar yang sesuai, anda dikehendaki:

 membatang suku kata

Seterusnya, anda perlu

 menyebut/membunyikan perkataan tanpa membatang suku
kata

2.4.3 Membaca frasa dan ayat

Dengan menggunakan bahan bantu belajar anda dikehendaki :

 membaca frasa

Teruskan aktiviti membaca dengan

 membaca ayat yang lengkap.


2.4.4 Menggunakan bahan bantu belajar untuk melaksanakan kaedah
fonetik

Pastinya kini anda telah mahir melaksanakan langkah demi langkah dalam kaedah fonetik.

Kini anda dikehendaki menggunakan kreativiti anda untuk :


 Membina bahan bantu belajar bagi melaksanakan langkah-langkah tersebut.
 Anda kini boleh menggunakan bahan bantu tersebut untuk melaksanakan kaedah fonetik seperti yang telah anda pelajari.



Latihan


Dengan menggunakan bahan bantu belajar bukan elektronik yang anda bina sendiri, anda dikehendaki melaksanakan kaedah fonetik secara simulasi. Setelah itu, anda dikehendaki menilai strategi pengajaran yang digunakan.

Nota penting (1) untuk UAK (PISMP dan PGSR)

1. Untuk memahami aktiviti prabacaan sila baca nota berikut.

Prabacaan merupakan kesediaan murid untuk membaca. Pada peringkat awalnya, kesediaan membaca ditakrifkan sebagai satu peringkat bagi menyediakan kanak-kanak untuk bacaan awal atau bacaan asas. Pada tahap ini, murid didedahkan kepada aktiviti-aktiviti yang boleh mendorong mereka mempertingkatkan ketajaman penglihatan dan pendengaran. Konsep kesediaan membaca bukan sahaja meliputi pengajaran kemahiran-kemahiran sebelum bacaan, tetapi juga merangkumi setiap kemahiran sebelum kemahiran membaca secara khusus dan berterusan (Juriah Long et.al. 1994).


Peringkat prabacaan meliputi kemahiran pengamatan pendengaran, kemahiran pengamatan peglihatan, aktiviti koordinasi psikomotor, latihan menajamkan daya ingatan, dan latihan bahasa pertuturan.Peringkat bacaan pula meliputi kemahiran mengenal abjad hingga membaca ayat. Pada tahap ini, murid didedahkan kepada aktiviti-aktiviti yang boleh mendorong mereka mempertingkatkan ketajaman penglihatan dan pendengaran .

Untuk mencapai kemahiran-kemahiran tersebut, aktiviti pramembaca boleh dilakukan dengan menggunakan permainan huruf, suku kata dan perkataan untuk mengukuhkan lagi kemahiran tersebut.


1.4 Aktiviti/Bengkel Prabacaan
Untuk memahami dengan lebih lanjut tentang aktiviti prabacaan, anda perlu melaksanakan aktiviti berikut:

1.4.1. Pengamatan Penglihatan

Dengan menggunakan bahan bantu belajar yang sesuai, lakukan aktiviti:

 pengamatan penglihatan

Aktiviti ini bertujuan untuk melatih keupayaan mata mengecam bentuk-bentuk.
Kini anda perlu melakukan aktiviti seterusnya.

1.4.2 Pengamatan Pendengaran

Dengan menggunakan bahan bantu belajar yang sesuai, anda dikehendaki melakukan aktiviti untuk mengecam bunyi-bunyi. Anda perlu melakukan aktiviti:

 pengamatan pendengaran


Tahniah! Anda telahpun berjaya melaksanakan aktiviti mempertingkatkan ketajaman pengamatan penglihatan dan pengamatan pendengaran.

Teruskan aktiviti berikut yang melibatkan psikomotor.



1.4.3 . Pergerakan Tangan dan Mata

Dengan menggunakan bahan bantu belajar yang sesuai, anda dikehendaki melakukan aktiviti:

 pergerakan tangan

Teruskan aktiviti prabacaan dengan melakukan aktiviti

 pergerakan mata


Untuk mencapai kemahiran-kemahiran tersebut, anda perlu melakukan aktiviti menggunakan permainan huruf, suku kata dan perkataan sebagai pengukuhan

Latihan

Dengan menggunakan bahan bantu belajar bukan elektronik yang anda bina sendiri, anda dikehendaki melaksanakan aktiviti prabacaan secara simulasi. Setelah itu, anda dikehendaki menilai strategi pengajaran yang digunakan.