PEMILIHAN DAN PENYESUAIAN BAHAN PENGAJARAN BAHASA
Penyampaian pengajaran yang berkesan dan menarik memerlukan gabungan beberapa komponen yang berkaitan seperti pendekatan, kaedah, teknik dan sebagainya. Ringkasnya, guru perlu menyediakan perancangan yang kemas, tersusun dan rapi. Selain itu penggunaan bahan pengajaran juga adalah penting.
Apa dia bahan pengajaran? Bahan pengajaran ialah perisian yang boleh digunakan oleh guru secara langsung dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Tujuan penggunaan bahan pengajaran adalah untuk mengekalkan penumpuan para pelajar sepanjang tempoh pembelajaran berlangsung, di samping memudahkan guru untuk menyampaikan pengajaran mereka.
Apabila kita memperkatakan tentang bahan pengajaran, apa yang kita ketahui, lazimnya guru-guru sering menggunakan bahan-bahan daripada buku-buku teks yang sedia ada daripada Kementerian Pendidikan. Melihat dari segi logika, bahan-bahan pengajaran sepatutnya tidak hanya tertumpu kepada buku-buku teks sahaja, malahan terdapat pelbagai jenis peralatan atau sumber yang lebih baik dan boleh digunakan sebagai bahan pengajaran.
Terdapat dua jenis peralatan yang boleh digunakan iaitu bahan pengajaran berbentuk elektronik dan bahan pengajaran yang bukan elektronik. Contoh bagi bahan pengajaran elektronik ialah seperti radio, televisyen, slaid, video dan yang seumpamanya. Bahan pengajaran yang bukan elektronik pula ialah seperti model hidup, gambar, carta dan seumpamanya.
Walau bagaimanapun, seperti yang diketahui bahan-bahan tersebut hanya bertindak membantu sahaja, tetapi guru perlu bertindak sebagai pengolah bahan-bahan ini agar bahan-bahan pengajaran tersebut menjadi lebih kreatif dan menyeronokkan. Hal ini ada ditegaskan oleh Elly, D.P. dan Gerlach, V.S. (di dalam Kamaruddin Hj. Husin dan Siti Hajar Hj. Abdul Aziz, 1997 : 293):
"The effectiveness of any medium depends on the creativity of the teacher using it."
PROSES PEMBINAAN DAN PENGGUNAAN BAHAN-BAHAN PENGAJARAN
Pada perenggan terakhir penulis ada menyatakan bahawa guru perlu bertindak sebagai pengolah bahan-bahan pengajaran yang digunakan agar menjadi lebih kreatif dan menyeronokkan. Bagaimanakah guru perlu mengolah bahan-bahan tersebut? Berikut adalah penerangan tentang proses pembinaan dan penggunaan bahan-bahan pengajaran tersebut.
Bermula daripada proses pemilihan bahan-bahan pengajaran, proses ini tidak boleh dianggap mudah kerana ia melibatkan kerja-kerja pengubahsuaian bahan agar bahan-bahan yang dipilih sesuai dengan objektif pengajaran yang hendak dicapai dan selaras dengan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.
Kerja-kerja pengubahsuaian tersebut terbahagi kepada lima peringkat iaitu proses memilih, mengolah, membina, menggunakan dan terakhir iaitu proses menilai bahan. Kesemua proses ini merupakan proses yang berterusan dan harus dilakukan berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.
PROSES MEMILIH BAHAN PENGAJARAN
Proses memilih bahan-bahan pengajaran sebaik-baiknya dilihat daripada tiga perspektif iaitu perspektif komunikatif, struktural dan kemahiran. Perspektif komunikatif menekankan kepentingan pembelajaran melalui penggunaan bahasa yang membolehkan para pelajar berinteraksi sesama sendiri atau dengan guru secara kerap dalam situasi yang 'natural'.
Perspektif struktural pula menekankan persembahan atau latihan asas struktur bahasa yang membolehkan para pelajar menggunakan tatabahasa dengan betul. Manakala perspektif kemahiran pula menekankan empat kemahiran bahasa iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan kemahiran menulis.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa prinsip umum yang perlu dititikberatkan juga bagi membolehkan guru-guru menilai bahan-bahan pengajaran mereka. Antara prinsip-prinsip umum pemilihan bahan pengajaran ialah:
a. Bahan pengajaran mestilah berkaitan dengan matlamat dan objektif pengajaran. Seboleh-bolehnya sebelum guru memilih bahan pengajaran yang hendak digunakan, guru perlu menentukan objektif pengajaran atau matlamat pengajaran yang hendak dicapai terlebih dahulu, agar pemilihan bahan pengajaran tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya.
b. Mempunyai perkaitan antara aspek bahasa, proses pembelajaran dan pelajaran. Ketiga-tiga aspek ini perlu ditekankan sama rata. Bahan pengajaran yang baik tidak hanya menekankan kepada aspek bahasa dan penggunaannya sahaja, malah perlu mengambil kira perkembangan para pelajar melalui penggunaan bahan-bahan pengajaran yang dipilih. Memandangkan proses pembelajaran sekarang lebih cenderung berpusat kepada pelajar (student oriented), guru perlu lebih peka terhadap situasi pelajar dan bukan hanya mementingkan aspek pengajaran semata-mata.
c. Boleh melengkapkan pelajar untuk menggunakan bahasa secara efektif. Guru perlu mengambil kira kandungan pengajaran yang hendak disampaikan kepada para pelajar dan kepentingan mereka mempelajarinya. Semasa penyampaian bahan pengajaran dilakukan, aktiviti yang pelbagai perlu ditimbulkan agar pelajar dapat latihan yang mencukupi untuk diaplikasikan kepada situasi yang sebenar dan memudahkan para pelajar untuk berkomunikasi dengan masyarakat.
d. Sesuai dengan hasrat falsafah pendidikan negara. Falsafah pendidikan negara ialah untuk melahirkan individu yang berpengetahuan selaras dengan konsep Melayu Islam Beraja. Tujuannya adalah untuk melahirkan masyarakat yang berilmu, berakhlak dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri.
e. Sesuai dengan keadaan dan nilai semasa. Bahan pengajaran yang dipilih perlulah mengikut peredaran zaman ataupun keadaan semasa. Guru tidak boleh hanya menggunakan bahan-bahan pengajaran yang lepas tetapi perlu ada pembaharuan kerana pelajar lebih cenderung kepada sesuatu yang baru.
f. Boleh mencabar pemikiran pelajar. Bahan pengajaran juga hendaklah terdiri daripada bahan-bahan yang boleh mencabar pemikiran pelajar. Contohnya, bahan-bahan pengajaran yang senang kepada yang lebih susah, bahan-bahan yang konkrit kepada sesuatu yang abstrak dan yang seumpamanya.
PROSES MENGOLAH BAHAN PENGAJARAN
Proses mengolah bahan bermaksud membuat adaptasi, perubahan, dengan membaikpulihkan isi dan keadaan bahan pengajaran sebelum bahan tersebut digunakan. Melalui proses ini, aspek-aspek yang kurang difahami akan diperjelaskan, perkara-perkara yang kurang penting akan digugurkan atau dibuangkan dan sekiranya terdapat hal-hal yang tidak lengkap akan ditambahkan. Proses ini memerlukan guru-guru untuk memberikan perhatian terhadap beberapa perkara berikut:
a. Inspirasi dan kreativiti
Bahan-bahan yang digunakan boleh memberikan galakan kepada pelajar untuk mencetuskan idea-idea yang kreatif dan bernas.
b. Menjadikan dialog bersifat komunikatif
Sekiranya bahan yang digunakan mengandungi dialog, guru perlulah menjadikan dialog tersebut bersifat komunikatif iaitu penggunaan bahasa yang betul dan membolehkan pelajar berinteraksi sesama sendiri, di samping menguasai kecekapan berbahasa.
c. Menjadikan aktiviti pembelajaran relevan dan berguna
Bahan-bahan pengajaran perlu disesuaikan supaya berkaitan dengan objektif pembelajaran, berfaedah dan dapat diaplikasikan oleh pelajar apabila pelajar menguasainya.
d. Memberikan contoh yang praktikal
Bahan-bahan pengajaran sebaik-baiknya mengandungi contoh-contoh yang praktikal yang boleh mempercepatkan kefahaman pelajar, di samping mereka dapat menyesuaikannya dengan situasi sebenar.
e. Memenuhi keperluan pelajar
Bahan-bahan pengajaran yang digunakan sebaik-baiknya dapat memenuhi keperluan para pelajar sama ada dari segi luaran (contohnya: dapat membantu pelajar dalam kerjaya mereka kelak) dan dari segi psikologi (contohnya: minat, kebolehan mental, umur, kecenderungan dan sebagainya).
PROSES PEMBINAAN BAHAN PENGAJARAN
Peringkat seterusnya ialah peringkat pembinaan bahan-bahan pengajaran. Setelah guru selesai memilih dan mengolah bahan-bahan pengajaran yang hendak digunakan, guru perlu memberikan penekanan terhadap beberapa aspek yang berkaitan dengan pembinaan bahan-bahan pengajaran. Antaranya adalah seperti beriku t:
a. Bentuk dan fungsi
Apa dia bentuk-bentuk bahasa? Bentuk-bentuk bahasa merujuk kepada fonologi, tatabahasa, perbendaharaan kata dan wacana. Manakala fungsi pula merujuk kepada proses menyampaikan maksud. Oleh yang demikian, bahan-bahan pengajaran perlulah dipilih daripada bentuk-bentuk bahasa kerana ia dapat menyatakan maksud dan fungsi. Tanpa bentuk-bentuk komunikasi, verbal tidak akan berlaku. Aspek-aspek ini perlu diberi perhatian untuk membolehkan pelajar mengenal dan menggunakan bahasa dengan betul.
b. Ketepatan
Ketepatan di sini merujuk kepada ketepatan bahasa yang digunakan, terutama sekali yang berhubung dengan fungsi dan konteks sosial. Apabila kita menggunakan bahasa, kita harus dapat menerapkan situasi sosial dan kita harus dapat menyesuaikan bahasa yang digunakan dengan situasi ketika itu.
c. Kepelbagaian
Kepelbagaian dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa bertujuan untuk mendedahkan pelajar kepada beberapa variasi bahasa yang digunakan secara meluas dalam masyarakat. Pengetahuan pelajar terhadap variasi-variasi bahasa membolehkan pelajar memilih variasi yang bersesuai dengan konteks dan situasi yang tertentu.
d. Kemahiran bahasa
Aspek ini melibatkan kemahiran pada aras penerimaan iaitu kemahiran mendengar dan membaca dan kemahiran pada aras pelahiran iaitu kemahiran menulis dan bertutur. Keempat-empat kemahiran ini perlu dilihat sebagai setiap bahagian yang berhubungan dan bukan terpisah-pisah sifatnya. Oleh yang demikian, kesemua kemahiran ini perlu digabungjalinkan untuk mewujudkan satu strategi pembelajaran yang lebih berkesan.
PROSES PENGGUNAAN BAHAN PENGAJARAN
Bagi mencapai satu tahap penggunaan bahan-bahan pengajaran yang berkesan, guru perlu memastikan bahan-bahan tersebut benar-benar berfaedah, bermanfaat dan dapat memenuhi matlamat yang hendak dicapai semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Berikut terdapat beberapa persoalan (penulis hanya menyenaraikan tiga sahaja) yang timbul dalam penggunaan bahan-bahan pengajaran, iaitu:
a. Adakah bahan-bahan pengajaran yang digunakan itu memenuhi keperluan deria para pelajar?
b. Sejauh manakah penggunaannya dapat memenuhi situasi dan pembelajaran pelajar?
c. Adakah penggunaannya sesuai dengan bentuk atau perkara-perkara yang hendak diajarkan?
PROSES PENILAIAN BAHAN PENGAJARAN
Proses menilai bahan-bahan pengajaran merupakan proses yang terakhir untuk dilaksanakan sebelum menggunakan bahan-bahan pengajaran. Proses ini tidak perlu dilakukan secara profesional, memadailah sekiranya guru menyediakan senarai semak untuk membuat penilaian terhadap bahan-bahan tersebut untuk mendapat gambaran secara keseluruhan tentang bahan-bahan pengajaran tersebut.
Berikut adalah contoh senarai semak yang diandaikan dapat membantu guru menilai bahan-bahan pengajaran yang hendak digunakan:
a. Nyatakan objektif-objektif bahan-bahan pengajaran secara ringkas;
b. Nyatakan kekuatan-kekuatan bahan pengajaran;
c. Berikan perhatian pada kelemahan-kelemahan dan kekurangan yang tertinggal pada bahan pengajaran;
d. Bandingkan bahan pengajaran tersebut dengan bahan-bahan yang telah dinilai dan
e. Buatkan satu kesimpulan umum mengenai bahan-bahan pengajaran tersebut.
KESIMPULAN
Pemilihan dan penyesuaian bahan pengajaran adalah penting untuk pengajaran bahasa khasnya dan pengajaran mata pelajaran yang lain amnya. Kebolehan guru mempelbagaikan bahan-bahan pengajaran dapat membantu guru menyampaikan pengajaran dengan lebih baik dan kreatif. Manakala bagi para pelajar pula, kepelbagaian bahan-bahan pengajaran tersebut dapat menarik minat dan perhatian mereka untuk menumpukan perhatian sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Selain itu, guru juga perlu memastikan kesemua bahan-bahan pengajaran yang digunakan memenuhi matlamat pengajaran dan bersesuaian dengan keperluan pengajaran dan pembelajaran.
BIBLIOGRAFI
Abd. Aziz Abd. Talib. (2000). Pedagogi Bahasa Melayu: Prinsip, Kaedah dan Teknik. Cheras: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Kamarudin Hj. Husin. (2001). Pedagogi Bahasa (Perkaedahan). Subang Jaya: Kumpulan. Budiman Sdn. Bhd.
Kamarudin Hj. Husin dan Siti Hajar Hj. Abdul Aziz. (1997). Pengajian Melayu 2. (Ketrampilan Bahasa). Subang Jaya: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd (1999). Pengajian Melayu 5 dan 6. (Pemulihan dan Pengayaan, Pengurusan Sumber Budaya dan Masyarakat Malaysia). Subang Jaya: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Yahya Othman. (2005). Trend Dalam Pengajaran Bahasa Melayu. Bentong: PTS. Professional Publishing Sdn. Bhd.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan