Sebagai guru, anda harus berusaha mencari jalan untuk membantu murid-murid menguasai kemahiran membaca supaya mereka menjadi pembaca yang cekap. Dengan ini, diharapkan mereka akan berjaya dalam semua mata pelajaran di semua peringkat. Untuk tujuan tersebut, anda perlu tahu peringkat-peringkat kemahiran membaca yang patut dilalui oleh murid-murid anda. Berikut diturunkan peringkat-peringkat kemahiran membaca yang mesti anda beri perhatian:
3.1.1 Peringkat Kesediaan Membaca
• Bilakah seseorang kanak-kanak itu bersedia untuk belajar membaca? Dalam masyarakat moden kini, ibu bapa meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat anak-anak mereka menguasai kemahiran membaca seawal yang mungkin. Oleh itu, sebagai guru, anda harus mengambil inisiatif sendiri untuk mencari pendekatan yang berkesan bagi merealisasikan harapan tersebut.
• Pelbagai takrif dikaitkan dengan kesediaan membaca. Umumnya peringkat ini dikatakan sebagai satu peringkat yang menyediakan kanak-kanak dengan bacaan awal atau bacaan asas. Kamorearx dan Lee (1943) berpendapat bahawa setiap peringkat membaca merupakan langkah ke arah kesediaan membaca untuk peringkat seterusnya. Oleh itu, guru harus memberi perhatian yang berterusan terhadap peringkat kesediaan membaca ini.
• Dechant (1977) menyenaraikan faktor yang mempengaruhi kesediaan membaca kanak-kanak seperti yang berikut ;
1. perkembangan persepsi
2. perkembangan intelek
3. peringkat kedewasaan termasuk faktor jantina
4. latar belakang dan pengalaman kendiri
5. kemahiran membeza melalui pendengaran dan penglihatan
6. perkembangan bahasa
7. perkembangan pancaindera
8. kesihatan
9. sikap, motivasi, minat dan keinginan untuk membaca
10. perkembangan sosial dan emosi
11. kaedah dan prosedur pengajaran
• Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia (1979) telah mengenal pasti kemahiran yang diperlukan pada peringkat kesediaan membaca seperti yang berikut:
1. kemahiran melihat dan mengenal pasti bentuk-bentuk yang sama dan berbeza
2. kemahiran mendengar dan mengenal pasti bunyi-bunyi yang sama dan berbeza
3. kemahiran menghubung bentuk huruf dengan bunyi
4. kemahiran mengenal semua huruf
5. kemahiran menggabungkan bunyi huruf menjadi suku kata dan suku kata menjadi kata yang bermakna
6. kemahiran mengamati bentuk-bentuk yang sama dan berbeza yang mempunyai perbezaan makna
7. kemahiran mencerakin kata kepada suku kata dan seterusnya huruf dan bunyi
8. kemahiran mengkoordinasi gerak mata dan tangan
• Kesimpulannya, untuk membolehkan kanak-kanak menguasai peringkat kesediaan membaca ini, anda sebagai guru hendaklah membimbing kanak-kanak menguasai pelbagai kemahiran lain yang akan membantu mereka mencapai kemahiran membaca dengan lebih mudah.
3.1.2 Peringkat Prabacaan
• Kanak-kanak perlu dibekalkan pelbagai kemahiran lain supaya peringkat prabacaan mereka dapat dilalui dengan sempurna. Berikut ialah kemahiran yang perlu diberi perhatian;
1. kemahiran menyesuaikan bentuk-bentuk yang sama
2. memilih bentuk-bentuk yang sama dan berbeza
3. mengecam dan membiasakan diri dengan bentuk-bentuk huruf
4. mengelaskan benda atau gambar mengikut kumpulan
5. menyusun benda atau gambar mengikut urutan
6. mengecam bentuk-bentuk huruf kecil dan besar
7. memadankan huruf mengikut urutan.
• Pada peringkat ini, anda sebagai guru harus pandai merancang aktiviti yang menarik supaya murid-murid anda dapat menguasai pelbagai kemahiran yang berkaitan dengan berkesan. Anda boleh mengisi aktiviti prabacaan murid-murid anda dengan permainan huruf, suku kata dan perkataan.
• Selain itu, aktiviti-aktiviti melukis dan menulis hendaklah berkait rapat dengan huruf atau simbol yang diperkenalkan kepada murid-murid.
• Anda mesti ingat bahawa membaca tidak mungkin berlaku sekiranya murid-murid tidak dapat mengenal pasti simbol atau perkataan serta memahami maknanya. Oleh itu, apabila anda melaksanakan pengajaran peringkat prabacaan, anda perlu memberi penekanan terhadap simbol dan maknanya.
• Untuk melaksanakan tujuan di atas, anda harus bijaksana memilih kaedah serta pendekatan yang sesuai dan berkesan supaya apa-apa yang anda lakukan benar-benar dapat menolong murid-murid anda. Antara kaedah dan pendekatan yang boleh anda pilih adalah seperti yang berikut:
1. Kaedah Abjad
2. Kaedah Fonik
3. Kaedah Suku Kata
4. Kaedah Perkataan
5. Kaedah Ayat dan Cerita
6. Pendekatan Cerakinan
7. Pendekatan PEBAS
8. Pendekatan Gabungan Bunyi Kata
9. Pendekatan Abjad-Suku Kata
• Bagaimana anda melaksanakan pengajaran membaca peringkat prabacaan? Berikut ialah sedikit penerangan untuk panduan anda:
1. Pastikan murid-murid mengenali huruf dan membunyikannya dengan
betul
2. Bimbing mereka menggabungkan huruf konsonan dengan huruf
vokal supaya menjadi suku kata
3. Murid-murid dilatih tubi mengeja suku kata
4. Kukuhkan daya penglihatan dan pengamatan murid-murid dengan latihan melukis bentuk-bentuk yang menyerupai huruf dan seterusnya latihan menulis huruf.
• Setelah meneliti keterangan di atas, anda jangan lupa bahawa ada perkara yang perlu anda ambil perhatian. Berikut ialah perkara-perkara tersebut:
1. Penguasaan bahasa lisan:
Anda mesti memastikan murid-murid menguasai bahasa lisan dengan baik supaya mereka mampu menterjemah huruf atau lambang tulisan kepada bunyi-bunyi tertentu. Oleh itu, bahan bacaan yang dipilih haruslah mengandungi perkataan-perkataan yang sudah ada dalam pengalaman murid-murid.
2. Penglihatan:
Paparkan bentuk huruf secara visual dengan jelas. Cara ini akan membantu murid-murid mengenal huruf, suku kata dan perkataan dengan cepat dalam latihan mengeja. Seterusnya, murid-murid akan mengenal huruf dan bentuknya serta mampu mengenal pasti persamaan dan perbezaan huruf-huruf tersebut.
3. Pendengaran:
Latih tubi mengeja suku kata perlu dilakukan untuk menajamkan
pendengaran kanak-kanak. Melalui latihan ini murid-murid dapat
mengenali bunyi-bunyi yang sama dan berbeza dalam perkataan.
4. Hubungan huruf dengan bunyinya:
Latihan mengeja hendaklah dijalankan secara sistematik supaya
murid-murid dapat menghubungkan huruf dengan bunyinya. Anda
patut mengenal pasti strategi yang menarik untuk mengelakkan rasa
jemu murid-murid apabila melakukan latihan ini.
5. Peraturan membaca dari kiri ke kanan:
Dalam tulisan Rumi, susunan dan peraturan membacanya ialah dari kiri ke kanan.
6. Gabung jalin semua aspek bahasa:
Anda perlu ingat bahawa untuk mengukuhkan kemahiran membaca di kalangan murid-murid, anda mesti memulakannya dengan kemahiran mendengar, bertutur dan menulis terlebih dahulu. Untuk merangsang minat murid-murid, anda boleh menjalankan aktiviti bercerita atau menyanyi untuk mengenal perkataan-perkataan dalam pelajaran membaca.
7. Merangsang dan menghidupkan minat murid:
Sebagai guru, anda patut mengetahui apa yang diminati oleh murid-murid anda. Biasanya kanak-kanak amat gemar akan gambar atau kad-kad yang berwarna-warni. Oleh itu, latihan membaca melalui aktiviti bercerita atau menyanyi perlu digandingkan dengan alat-alat bantu mengajar yang menarik. Anda boleh memilih mana-mana alat atau bahan yang berikut;
i. kad-kad huruf
ii. kad-kad suku kata
iii. kad-kad perkataan
iv. carta bergambar
v. pita rakaman
vi. carta huruf-huruf vokal dan konsonan
vii. carta huruf-huruf kecil dan besar dan lain-lain yang sesuai.
3.1.3 Membaca secara mekanis
• Untuk membolehkan murid-murid anda membaca secara mekanis, anda harus mengajarkan kemahiran-kemahiran yang berikut kepada mereka;
1. membunyikan huruf dalam perkataan
2. membunyikan huruf yang ditunjukkan
3. membaca perkataan bergambar
4. mengumpulkan perkataan-perkataan yang mempunyai persamaan huruf awal
5. membaca perkataan yang sama rimanya sacara nyaring
6. memadankan perkataan yang sama sebutannya
7. mengecam dan menyebut perkataan berdasarkan bunyi huruf, suku kata atau perkataan lain yang terkandung di dalamnya
8. membaca ayat yang mengandungi perkataan-perkataan yang telah dipelajari
9. membaca bahan-bahan bacaan secara nyaring dengan intonasi dan sebutan yang betul
• Kemahiran-kemahiran di atas harus diajar melalui latihan atau aktiviti yang dibantu dengan alat atau bahan pengajaran yang menarik supaya murid-murid tidak jemu.
3.1.4 Membaca dan memahami
• Pada peringkat ini, kemahiran yang diperlukan ialah kemahiran belajar dan berfikir. Antara kemahiran tersebut adalah seperti yang berikut;
1. menyesuaikan ayat dengan gambar yang diberi
2. menggambarkan isi bahan bacaan yang dibaca dalam bentuk rajah
3. memahami peta, graf, carta, rajah, jadual dan data
4. menyatakan erti perkataan baru yang sesuai mengikut konteks
5. menggunakan perkataan yang sesuai untuk menjelaskan pendapat sendiri berdasarkan fakta-fakta yang terdapat dalam bahan bacaan
6. menyatakan pokok persoalan dalam sesuatu ayat
7. menceritakan semula cerita yang pernah dibaca
8. memberi keterangan untuk menyokong atau menolak sesuatu penyataan
9. menyatakan satu maklumat yang menarik perhatian dalam bahan yang dibaca
10. memahami bahan-bahan berbentuk teknikal yang berkaitan dengan sesuatu ilmu pengetahuan.
• Setelah meneliti kemahiran-kemahiran di atas, cuba anda bayangkan betapa besarnya peranan anda sebagai guru dalam melaksanakan amanah membimbing murid-murid supaya menguasai pelbagai kemahiran dari peringkat rendah hingga ke peringkat yang tertinggi. Oleh itu, mulakan bimbingan anda terhadap kemahiran membaca dan memaham dari peringkat awal lagi.
• Walau bagaimanapun anda jangan lupa pada tujuh perkara yang telah disebutkan di atas tadi kerana tujuh perkara itu dapat dijadikan panduan untuk merancang pengajaran peringkat-peringkat membaca yang berkesan.
3.1.5 Bacaan intensif
• Bacaan intensif ialah bacaan yang dilakukan secara teliti dengan bimbingan guru. Penelitian akan mengambil kira aspek isi dan bahasa. Oleh itu, anda sebagai guru, harus memberi penerangan tentang struktur perkataan yang sukar supaya murid-murid dibantu mengembangkan perbendaharaan kata mereka.
• Proses bacaan yang meneliti aspek isi ini melibatkan kemahiran membaca kritis, kemahiran memaham dan kemahiran mengesan idea dalam bahan bacaan yang dibaca.
• Aspek bahasa yang diteliti sewaktu membaca, mendedahkan murid-murid pada aspek tatabahasa yang meliputi komponen morfologi dan sintaksis. Oleh yang demikian, anda sebagai guru bahasa Melayu mesti menguasai ilmu tatabahasa supaya murid-murid anda mendapat bimbingan semaksimum mungkin.
• Jika anda dapat membimbing murid-murid pada peringkat bacaan intensif dengan menggunakan kaedah, pendekatan dan teknik yang berkesan, anda akan berjaya melahirkan murid-murid yang;
1. boleh membaca dengan baik dan betul dari segi sebutan dan intonasi.
2. dapat membaca dengan lancar dan tahu menggunakan tanda bacaan yang betul
3. cekap merujuk kamus untuk mencari makna perkataan dalam ayat dan seterusnya mengayakan mereka dengan perbendaharaan kata
4. boleh menilai dan mengulas isi atau idea yang tersurat serta tersirat dalam bahan yang dibaca
5. dapat mengesan dan menikmati unsur estetik dalam bahan yang dibaca
6. dapat mengenal pasti pelbagai laras bahasa
7. boleh membuat rumusan atau kesimpulan daripada bahan yang dibaca
3.1.6 Bacaan ekstensif
• Bacaan ini dilakukan di luar kelas secara kendiri tanpa bimbingan guru. Murid-murid boleh membaca bahan bacaan sebanyak mungkin dalam tempoh yang tidak terhad.
• Proses bacaan akan melibatkan penelitian indeks, daftar kata, judul, bab, kandungan dan sebagainya untuk mendapatkan maklumat umum.
• Bahan bacaan harus daripada pelbagai laras dan bidang ilmu kerana murid-murid sepatutnya merasa puas, seronok, dan terhibur selepas aktiviti membaca tersebut.
• Walaupun bacaan ini merupakan aktiviti kendiri, anda sebagai guru perlu menggerak dan meragsang murid-murid anda supaya menguasai kemahiran ini kerana melalui bacaan ektensif anda dapat melahirkan murid-murid yang;
1. boleh membaca sendiri tanpa disuruh
2. lancar membaca
3. kaya dengan pengetahuan
4. minat membaca
5. tinggi daya pemikiran kreatif dan kritisnya
6. boleh menguasai dan menggunakan gaya bahasa prosa serta puisi dengan baik
7. mahir merujuk kamus dalam usaha mencari makna perkataan sukar yang ditemui
8. mempunyai kepantasan membaca dan memaham yang berkualiti.
• Anda harus memainkan peranan sebagai fasilitator. Bimbing murid-murid anda membuat senarai semak atau catatan tentang faedah dan peningkatan yang mereka peroleh hasil bacaan ekstensif yang telah dilakukan.
3.3 Pemilihan dan penghasilan bahan kemahiran membaca
• Pengajaran kemahiran membaca perlu disokong oleh penggunaan bahan bantu yang sesuai dengan tahap pencapaian murid-murid. Terdapat banyak bahan yang boleh digunakan, tetapi seseorang guru harus pandai membuat pilihan supaya bahan itu betu-betul dapat membantu. Berikut ialah kriteria-kriteria yang boleh dijadikan asas untuk membuat pilihan bahan, khususnya untuk kemahiran membaca;
1. kandungannya berguna dan penting kepada murid-murid
2. isi kandungan dan persembahannya sesuai dengan keadaan serta nilai semasa
3. isi kandungan mempunyai hubungan dengan objektif yang hendak dicapai
4. isi kandungannya dapat mengembangkan daya pemikiran kreatif dan kritis murid-murid
5. isi kandungannya dapat membantu murid-murid memantapkan peringkat-peringkat pemahaman mereka
• Sebagai guru yang kreatif dan positif, anda tidak boleh hanya bergantung kepada bahan-bahan yang sudah sedia ada sahaja, tetapi anda mesti mempunyai inisiatif untuk menghasilkan bahan sendiri untuk membantu murid-murid anda belajar dengan lebih berkesan.
Kalau nak menghasilkan bahan-bahan yang menarik dan berkesan cuba kaji kriteria berikut, cikgu ya!
1. bahannya sederhana, mudah dihasilkan dan boleh digunakan dalam pelbagai situasi
2. bahannya tidak mudah rosak, senang disimpan dan boleh digunakan berkali-kali
3. bahan itu harus mengandungi idea yang disusun dengan menggunakan bahasa yang gramatis
4. pengisian gambar atau bentuk-bentuk grafik mengandungi mesej yang mampu menajamkan daya pemikiran murid-murid
5. menggunakan pelbagai laras dan ragam bahasa yang dapat mencungkil daya ingin tahu murid-murid
6. bahan harus dalam pelbagai bentuk supaya murid-murid tidak jemu, contohnya, tidak hanya dalam bentuk petikan sahaja.
7. bahan harus dalam pelbagai bentuk supaya murid-murid tidak jemu.
Diharapkan bahan ini dapat menambah pemahaman anda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan