bloguez.com

Isnin, 31 Ogos 2009

Disleksia

DISLEKSIA

Dari segi bahasa, disleksia (dyslexia) berasal daripada perkataan Yunani dys yang bermaksud "sukar" dan lexia yang bermaksud “bahasa”. Apabila kedua-dua perkataan itu digabungkan, maksudnya ialah kesukaran berbahasa.
Menurut Sheila dan Samsilah (2006), secara umum, disleksia merujuk kepada masalah persepsi dalam otak yang menyebabkan kesukaran membaca dan menulis. Persatuan Disleksia Singapura (Dyslexia Association of Singapore, DAS) pula mentakrifkan disleksia sebagai kesukaran menguasai bahasa dari segi pemerolehan, fonologi, ejaan, bacaan dan penulisan. Menurut DAS, disleksia ditandai juga dengan kesukaran mempelajari matematik. Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) (2005) pula menonjolkan kecerdasan murid dalam definisinya terhadap murid disleksia. Menurut KPM, murid yang mengalami masalah pembelajaran disleksia ialah murid yang mempunyai kecerdasan mental yang searas atau melebihi murid-murid biasa tetapi mempunyai kesukaran atau kelemahan yang tinggi dalam kemahiran mengeja, membaca dan menulis.
Penyebab disleksia belum diketahui secara pasti. Secara umumnya para pengkaji berpendapat, disleksia berkaitan dengan masalah neurologi, iaitu sesuatu yang ada kaitannya dengan sistem saraf khususnya pada otak. Misalnya terdapat gangguan koordinasi antara mata dengan otak ketika proses membaca. Namun, gangguan itu bukanlah berupa kecacatan fizikal atau mental. Sebaliknya, penghidap disleksia memiliki kemampuan fizikal dan intelek yang normal. Tegasnya mereka bukanlah orang cacat. Kecerdasan mereka pula mungkin sama dengan mereka yang tidak menghidap disleksia. Malah mereka dapat dianggap istimewa kerana mempunyai bakat kreatif dan lazimnya dapat maju dalam bidang seni seperti lukisan dan lakonan.
Di Malaysia, isu disleksia mendapat perhatian masyarakat pada awal tahun 90-an. Pada tahun 1993, Seminar Pengenalan kepada Disleksia diadakan di Kuala Lumpur. Seterusnya …. Kini ….
Mungkin kerana “baharu” perkataan disleksia tidak termuat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat
Di Malaysia, jumlah penghidap disleksia begitu banyak. Utusan Malaysia keluaran 17 Disember 2005 melaporkan sebanyak 350,000 murid sekolah rendah di negara kita mengalami disleksia. Hal ini dapat dianggap sebagai satu sindrom dan penghidapnya kehilangan motivasi, kurang daya tumpuan dan akhirnya menyebabkan kekecewaan dari segi akademik. Namun, keadaan ini tidaklah merisaukan sangat kerana ada statistik yang mengatakan bahawa dalam kalangan penderita disleksia hanya empat peratus penderita serius, 10 hingga 15 peratus penderita ringan dan bakinya mungkin “biasa-biasa” sahaja. Keadaan ini juga tidak seharusnya terlalu merisaukan pengguna bahasa Melayu kerana, menurut DAS, kesan disleksia lebih ketara terhadap pengguna bahasa yang mempunyai lambang tulisan, fonologi dan tatabahasa yang rencam. Pengguna bahasa Melayu tentu berasa bertuah kerana sistem tulisan, fonologi dan tatabahasa bahasa Melayu begitu sistematik dan mudah dipelajari.
Setakat ini belum ditemukan ubat khusus untuk menyembuhkan disleksia. Rawatannya hanyalah dengan latihan khusus yang ditangani oleh guru-guru yang terlatih dalam bidang pendidikan khas dan pendidikan pemulihan khas. Mungkin disebabkan oleh keistimewaan dua kumpulan guru inilah maka guru pendidikan khas diberikan elaun istimewa dan guru pemulihan khas (GPK) pula merupakan jawatan khusus di sekolah rendah yang tidak boleh dimansuhkan jawatan itu kecuali mendapat kebenaran bertulis daripada pihak jabatan pendidikan negeri. Sayangnya, ketika nota ini ditulis, belum jelas ada jawatan GPK di sekolah kurang murid (SKM), iaitu sekolah yang muridnya kurang daripada 150 orang.


CIRI-CIRI PENGHIDAP DISLEKSIA

1. Melakukan pelbagai jenis kesilapan pengecaman, pengingatan dan penghasilan kembali dalam urutan kemahiran mengeja.
2. Menghadapi kesukaran untuk membezakan huruf yang bentuknya seakan-akan sama seperti m dengan n, u dengan n, b dengan d, dan p dengan q.
3. Melakukan kesilapan semasa menulis jawapan walaupun telah berjaya menjawab soalan yang sama secara lisan.
4. Keliru dengan Terkadang sering mengacaukan kata yang berhubungan dengan arah, waktu dan petunjuk, seperti kiri menjadi kanan, stop menjadi jalan, dan sebagainya
PANDANGAN VIJAYALETCHUMY (Masih berupa nota)
Menurut Vijayaletchumy (2005), sebagaimana yang diutarakan oleh seorang pengkaji yang bernama Levinson dan bukunya yang bertajuk A Solution to the Riddle Dyslexia (1994), terdapat tiga jenis disleksia, iaitu disleksia bacaan, disleksia tulisan, dan disleksia matematik. Di sini akan dihuraikan dua jenis disleksia, iaitu disleksia penglihatan (visual) dan disleksia pendengaran (auditori). Huraian ini berasaskan kertas kerja Vijayaletchumy a.p. Subramaniam yang bertajuk “Disleksia Visual dalam Aspek Bacaan Bahasa Melayu” yang dibentangkan dalam Seminar Antarabangsa Linguistik Melayu (SALiM05) di Universiti Kebangsaan Malaysia pada akhir tahun 2005.

Disleksia Penglihatan

Vijayaletchumy merumuskan, murid disleksia visual ialah mereka yang dapat melihat dengan baik tetapi tidak dapat mengamati perbezaan, tidak dapat melakukan interpretasi, atau tidak dapat mengingat perkataan yang dilihat. Tahap terjejasnya bacaan bergantung pada masalah yang dihidapi oleh individu. Ada masalah begitu teruk sehinggakan pelajar tidak dapat membaca langsung, dan ada pelajar yang hanya mengalami masalah menyebut perkataan dengan suku kata yang banyak. Antara ciri disleksia penglihatan yang dikenal pasti oleh beliau adalah seperti yang berikut:

1. Kepayahan diskriminasi visual. Hal ini menyebabkan berlakunya kesukaran membezakan huruf atau perkataan yang hampir sama seperti bas disebut bus dan pen disebut ben.
2. Kadar pengamatan yang lambat.
3. Kecenderungan kebalikan. Contohnya, buku dibaca duku.
4. Kecenderungan songsang. Contohnya, air dibaca ari.

Untuk merawat masalah ini, dicadangkan guru pemulihan menggunakan kaedah fonik, iaitu mengutamakan bunyi huruf, huruf dimulai dengan setiap bunyi, huruf berdasarkan bunyi, pembentukan perkataan berdasarkan bunyi huruf, bunyi dijadikan perkataan yang bermakna, perkataan dalam kumpulan yang sama, adunan dua bunyi daripada konsonan, adunan bunyi konsonan dengan vokal
Murid
1. Sukar mengekalkan imej lengkap sesuatu perkataan g tidak dapat belajar dengan berkesan dengan menggunakan penglihatan, termasuk tidak cekap membaca.
2. Penyelesaian: pengajaran bacaan mengutamakan pendengaran.
3. Latihan: mengenal perkataan, pemerincian, mengenal orientasi abjad, gambaran urutan abjad dalam perkataan, rentak kadar diskriminasi perkataan.
4. Kaedah mengenal huruf dengan cara terbalik.

Disleksia Pendengaran

1. Lemah menanggap dan mengingat apa-apa yang didengar g gagal mengingat apa-apa yang disampaikan secara lisan sahaja, termasuk latihan lisan.
2. Penyelesaian: utamakan bentuk visual.
3. Latihan: kesejajaran dengar-pandang, pilihan perkataan yang bermakna, kaitan simbol bertulis dengan pengalaman, pengenalan frasa dan ayat yang asas, cerita berasaskan pengalaman bahasa.

DAPATAN KAJIAN VIJAYALETCHUMY
VJ Semasa murid disleksia sedang membaca berlaku penetapan dan pengesanan mata terhadap huruf. Mata murid disleksia tidak dapat mengimbas sepenuhnya huruf, kata dan ayat yang berlainan. Mata mereka merakamkan huruf, kata dan ayat itu bertaburan di sana sini. Oleh sebab itu, huruf, kata dan ayat dilangkau-langkau. Hal ini menyebabkan mereka tidak dapat memahami sepenuhnya apa-apa yang dibaca.

Akibat kesukaran pengimbasan oleh mata, huruf yang kecil sering kali dilangkau-langkau. Huruf dalam suku kata dan segmen perataan juga sering kali dilangkau. Hal ini menyebabkan berlakunya kesalahan seperti P menjadi O atau I, T menjadi I; ITIK tak dapat dibaca?
Kebanyakan subjek kajian dapat mengenal dan menyebut huruf tetapi tidak dapat membatang suku kata untuk menjadikannya satu perkataan yang bermakna. Ada perkataan yang dieja dengan betul tetapi disebut lain. Contohnya: (g = disebut)
ibu abu
oren - aren
ini - ani
abu - bua
ikan - kan
Terdapat huruf yang dibaca terbalik. Hal ini ada kaitannya dengan pengamatan visual. Huruf yang dibaca terbalik itu adalah seperti yang berikut: b - p (buku - puku), d - b (dalam - balam), b - d (bantu - dantu), p - b (pilihan - bilihan), m - w (masa - wasa), d - p (adik - apik). n - u (makan - makau).

Turut berlaku ialah pemendekan: pelupa - lupa, cahaya - caya, sahaja - saja, botak g tak, rumah g mah, sokongan - sokong.

Menambah bunyi pada perkataan: makan - makanan, salam - semalam, lompat - melompat, rumah - di rumah, baca - membaca, pantun - berpantun, cerita - bercerita.

Penggantian huruf kerana masalah pengamatan: ikan - akan, bomba - bonda, api - apa, buku - buka, kotak - katak, salam - malam, bantu - hantu.

Huruf e pepet diganti dengan e taling: seluar, belacan, berita, selesa, serupa, selekeh, lembu.

INTI SARI PANDANGAN

Kanak-kanak yang mengalami disleksia sering gagal menghasilkan sesuatu yang terbaik. Hal ini mengganggu tumpuan perhatian mereka. Akibatnya, mereka dianggap sebagai malas, bebal, bodoh, bengap, cuai dan sebagainya. Sebenarnya, mereka juga pintar. Jika diberi peluang dan mendapat bimbingan yang betul, mereka boleh mencapai kejayaan. Mereka boleh melakukan sesuatu yang terbaik sama dengan kanak-kanak lain.
Ada tokoh terkemuka yang mengalami disleksia iaitu Menteri Kanan Singapura, Lee Kwan Yew, mantan Perdana Menteri England, Winston Churchill, dan pelakon terkemuka, Tom Cruise. Mereka berjaya dalam kerjaya masing-masing!

DAPATKAH ANDA BANTU?

1. Gunakan pen yang berbagai-bagai warna untuk menulis perkataan atau untuk menggaris perkataan dan terangkan dengan jelas setiap fakta yang penting.
2. Bantu mereka menyiapkan jadual harian supaya mereka dapat mengikuti dengan tepat perkara yang perlu mereka lakukan seharian.
3. Sediakan senarai barang yang perlu dibawa ke sekolah, kelas tuisyen dan sebagainya.
4. Berikan mereka masa untuk berehat selama 10 minit bagi setiap 20 minit mereka belajar atau membaca.
5. Dapatkan kerjasama daripada pihak guru darjah untuk meletakkan anak anda duduk di barisan hadapan di dalam bilik darjah. Tindakan ini akan membantu mereka memberikan tumpuan semasa belajar.
6. Guru boleh memberi masa lebih sedikit untuk kanak-kanak ini menyalin nota. Tulisan guru juga perlu dijarakkan dengan lebih ketara supaya mereka dapat melihat tulisan itu dengan jelas dan menyalinnya dengan mudah.
7. Guru juga boleh memberikan lembaran kerja yang dicetak dengan saiz fon yang lebih besar supaya mereka dapat melihat dengan jelas dan dapat menarik tumpuan mereka. Usaha ini dapat mengurangkan kesan ngeri atau takut pada perkataan yang tertera. Apabila mereka dapat membaca dengan jelas, kefahaman mereka terhadap teks bacaan juga akan bertambah.
8. Benarkan mereka menggunakan komputer untuk tujuan menulis atau menyiapkan tugasan kerana komputer mempunyai kemudahan penyemak ejaan.
9. Anda perlu sedar bahawa kanak-kanak ini memerlukan masa yang lebih panjang untuk menyiapkan tugasan mereka dan menjawab kertas ujian serta peperiksaan. Proses mereka membaca, mengecam perkataan dan menulis merupakan beban yang amat berat.
10. Mereka baik dari segi pertuturan dan perbualan jika dibandingkan dengan membaca dan menulis. Maka dari itu, guru-guru boleh menguji mereka dari segi lisan dan jangan hanya terhad pada ujian-ujian bertulis atau bacaan sahaja.
11. Jangan melabel kanak-kanak ini dengan nama-nama ejekan seperti si malas, pak pandir, otak udang dan sebagainya.
12. Berilah mereka pujian bagi setiap usaha mereka. Jangan hanya memuji mereka apabila mereka mendapat markah penuh atau markah tertinggi. Mereka perlu diberi peluang untuk mengalami dan merasa kejayaan dalam apa juga bentuk. Jika mereka terus gagal tanpa diberi peluang untuk mengecap kejayaan, mereka akan dewasa dengan perasaan kecewa dan hilang keyakinan diri.
13. Bagi ibu bapa, sayangilah mereka sama seperti anak-anak yang lain. Mereka memerlukan sokongan dan pengertian daripada orang yang terdekat dengan mereka; iaitu ibu bapa, keluarga, guru dan rakan sebaya.
14. "Disleksia tiada penawarnya, tiada ubat dan tiada akhirnya. Seseorang yang mengalami disleksia akan membesar dan dewasa dengan masalah pembelajaran ini. Bukan ubat atau penawar yang perlu kita cari dan buru untuk membantu mereka ... yang perlu kita cari ialah bagaimana untuk membantu mereka mengatasi masalah ini, bagaimana untuk membimbing mereka menghuraikan kekusutan semasa berdepan dengan huruf-huruf, perkataan dan ayat, dan jawapannya ialah melalui program khas dalam pengajaran dan pembelajaran!"


BIBLIOGRAFI
Dyslexia Association of Singapore, http://www.das.org.sg/
Kementerian Pendidikan Malaysia, 2005. Maklumat Pendidikan Khas. Kuala Lumpur: Jabatan Pendidikan Khas.
Sheila Devaraj dan Samsilah Roslan, 2006. Apakah Itu Disleksia? Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing.
Vijayaletchumy a/p Subramaniam, 2005. “Disleksia Visual dalam Aspek Bacaan Bahasa Melayu“ dalam Zulkifley Hamid et al. (ed.), 2005. Prosiding Seminar Antarabangsa Linguistik Melayu (SALiM05), Jilid 2. Bangi: Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan